Wednesday, December 21, 2011

Lirik Sulaiman dan Twitter Balqis

PART I(1)

KORUS SULAIMAN

     Kolej Sultan Sulaiman. Di situlah terungkapnya sebuah kenangan. Di situlah bermulanya segenggam perjuangan. Meskipun tempat yang lebih dikenali sebagai bumi waqafan dalam kalangan penghuninya ini diberi jolokan nama "kolej" , namun bukanlah bermakna institusinya berteraskan pendidikan seperti sebuah kolej. Madrasah ini seperti sekolah menengah agama biasa, cumanya ia lebih disegani daripada sekolah-sekolah agama yang lain. Bukanlah bermaksud status itu dijadikan modal untuk kolej itu bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dengan kehebatannya. Jauh sama sekali! Di samping pencapaian akademik yang agak memberangsangkan dalam kalangan pelajarnya, kolej ini dihormati kerana produknya yang melahirkan individu berakhlak mulia dan luas ilmu pengetahuannya.

      Dan jelasnya, bangunan itu tetap setia kukuh berdiri.Menanti kehadiran penghuninya untuk menghiasi suasana yang sudah lama berdiam sepi dek cuti pertengahan tahun yang sudah lama berlalu. Ramai pelajar kelihatan berbondong-bondong masuk ke dalam kawasan asrama. Ada yang datang bersama-sama dengan keluarga, tidak kurang juga yang datang bersendirian, kemungkinan bertolak daripada kampung dengan menaiki KTM ataupun bas. Kawasan asrama lelaki diasingkan dengan asrama perempuan sebagai mematuhi peraturan sekolah.

" Kau dah lama sampai ke, Suf? " tanya Umar sejurus selepas dia terlihat susuk tubuh berbadan sasa yang cukup dikenalinya menuju ke arah bangku di sebelah Musolla Saidina Abu Bakar, tempat dia melabuhkan punggungnya.

" Hmm..Dah lama dah. Sejak pagi tadi lagi. Cumanya, aku outing ke bandar, beli beberapa barang jap. Baru tadi je sampai.Kau sihat, Umar? " soal Yusuf kepada rafik karibnya itu, menandakan sikap keprihatinan dia. Waktu kala itu menunjukkan pukul 6.30 petang.

" Alhamdulillah. Allah masih lagi pinjamkan jasad ni kat aku dan Dia masih lagi kurniakan kesihatan tubuh badan untuk beribadah kepada-Nya. Eh, Suf, kau dengar tak cite pasal kes pelajar Melayu yang kahwin dengan kaum sejenis kat luar negara tu? "

" Haa, aku ada dengar gak pasal tu. Nauzubillahi min zalik. Aku pun terkejut gak masa aku dapat tahu pasal berita tu. Haih, ape nak jadilah dengan umat Islam sekarang ni? Sepatutnya kita ambil iktibar daripada peristiwa Kaum Lut yang diterbalikkan bumi disebabkan perbuatan jijik mereka tu. Haih, tak tahulah.."


" Sabar, Suf. Kita sepatutnya bersyukur sebab Allah masih lagi beri peluang untuk kita membetulkan diri kita dahulu dan bertaubat selagimana hari kiamat tidak berlaku. Rahmat dan ampunan Allah itu Maha Luas dan tugas kita sebenarnya untuk mendidik dan menyebarkan agama Islam yang benar kepada orang kat luar tu. "


" Aku setuju dengan kau Umar. Sebahagian besar daripada kita ni selalu menganggap bahawa apabila seseorang itu dah buat dosa atau maksiat, tidak kiralah sekali atau beberapa kali, Allah tidak akan mengampunkan dosa dan menerima taubatnya. Malah, yang lebih teruk lagi, ada sebahagian daripada masyarakat kita yang melaknat dan menyisih golongan ini. Kalau berterusan begini, masalah keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial bukan lagi menurun, tapi melonjak naik. Sepatutnya kita menolong dan berdakwah kepada mereka dengan cara yang betul dan mengajak mereka untuk bertaubat kepada Allah.InsyaAllah, Allah akan menerima taubat mereka selagi mereka mahu berubah ke arah kebaikan dan tidak mengulanginya. "


" Betul tu, Yusuf. Eh, tu bukan ke Sulaiman? Jom kita tolong sahabat kita tu, " 


      Mereka berdua terpandang sebuah kereta Innova berwarna biru yang baru sahaja menapak ke kawasan asrama. Sejurus selepas kereta itu berhenti di hadapan blok bangunan berwarna hijau, mereka berdua pun segera menyambut kedatangan seorang sahabat mereka yang mereka cukup hormati, Sulaiman. Sulaiman tersenyum mesra dengan pertolongan yang diberikan oleh Yusuf dan Umar. Mereka berdua tidak keberatan untuk menolong dia kerana sudah menjadi amalan yang lazim dan mulia untuk pelajar-pelajar di situ menolong antara satu sama lain.


     Tangan jam bergerak sempurna. Seperti aturan yang begitu cantik susunannya, benarlah Allah itu Maha Adil dalam segala urusan-Nya. Maghrib dilaksanakan secara berjemaah di Musolla Saidina Abu Bakar dan sekarang tibalah masa untuk pengisian rohani untuk para pelajar. Kebiasaannya tazkirah oleh muzakkir menjadi agenda utama dalam santapan rohani ini di samping usrah, qasidah dan bacaan surah Yasin mahupun surah Al-Kahfi. 


Dan di saat malam yang penuh syahdu itu, bertemankan sinar rembulan yang memperlihatkan keindahan ciptaan Allah 'Azza wa Jalla, sahabat-sahabat muslimin begitu beruntung kerana pemimpin mereka yang begitu mereka hormati sebagai ketua pelajar sekolah itu, yang begitu terkenal dengan sikap tawadhu' dan hebat hujahnya akan memberi sedikit peringatan kepada mereka.

" Alhamdulillah. Seinfiniti kesyukuran kita rafa'kan kepada Rabbul Jalal kerana hanya dengan limpah kurnia-Nya serta inayah-Nya, kita selesai menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya dan dapat menunaikannya secara berjemaah iaitu solat fardu Maghrib. Dan kita harus bersyukur juga kerana Allah menghadirkan hidayah kepada hati-hati kita untuk berada dalam salah satu taman-taman syurga di dunia iaitu majlis ilmu ini yang InsyaAllah, dinaungi oleh malaikat dan berada dalam pemerhatian Allah subhanahu wa ta'aala."

" Seterusnya, selawat serta salam ke atas junjungan agung, kekasih Allah dan kekasih umat Islam sekalian, Nabi Muhammad (s.a.w). Berkat perjuangan baginda dan titik peluh baginda, hingga dikhabarkan bahawa ketika baginda berdakwah di Thaif, berkocak darah dalam capal baginda disebabkan dicerca dan dibaling batu oleh penduduk di situ. Namun begitu, Rasulullah tetap bersabar malah mendo'akan keampunan daripada Allah ke atas penduduk Thaif kerana kejahilan mereka. Sesungguhnya, agama Islam itu adalah benar dan InsyaAllah, kita hadir pada hari ini dalam keadaan seorang Muslim dan seorang Mu'min. "

" Firman Allah Ta'ala dalam kitabnya yang mulia, surah An-Nisa', ayat ke 17.Mafhumnya : Sesungguhnya bertaubat kepada Allah itu hanya sesuai bagi mereka yang melakukan kejahatan kerana tidak mengerti, kemudian segera bertaubat. Taubat mereka itulah yang diterima Allah. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. Sahabat-sahabat sekalian yang ana kasihi, kita seharusnya......... "

       Begitu lunak dan lembut lidah Sulaiman berbicara dan berdakwah kepada rakan-rakannya sehingga hati mereka terasa begitu hina di depan Tuhan mereka. Peringatan daripada pemimpin mereka itu menyedarkan mereka bahawa hidup dan mati mereka hanyalah untuk Allah, segala-gala yang berada di dunia ini hanya bersifat sementara dan tidak mungkin dapat menandingi nikmat di syurga yang kekal abadi kelak.

      Sulaiman memang seorang pemuda yang disegani dalam kalangan sahabat-sahabatnya dan juga guru-guru di kolej itu. Peribadinya yang begitu indah mengagumkan setiap orang yang mengenalinya. Setiap gerak-gerinya begitu sopan dan lembut namun tatkala diminta berforum ataupun berhujah, tegasnya bukan kepalang dan idea-ideanya begitu bernas. Sopan-santunnya kadang-kadang menyebabkan muslimat pun terasa malu dan sifat kepimpinannya mengakibatkan muslimin menjadikannya sebagai role model mereka.

      Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar di kolej itu senang dan suka bergaul dengan dia kerana dia selalu bersifat prihatin dan tawadhu' terhadap mereka. Meskipun diberi taklifan sebagai ketua pelajar, itu bukanlah alasannya untuk turut sama melakukan kesalahan disiplin dan melepaskan tanggungjwabnya. Dia sedar bahawa apabila sudah bergelar pemimpin, seolah-olah kaki kanannya berada di syurga dan kaki kirinya berada di neraka.Tatkala dia diam, dia berfikir. Apabila dia berkata-kata, dia berzikir dan semua yang mendengar pasti diam dan setia mendengar.

     Sulaiman bukan sahaja hebat dalam kepimpinannya, malah dia merupakan seorang pelajar yang cerdik dan aktif dalam kokurikulum. Dia mendapat tempat pertama dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun baru-bari ini dan merupakan pelajar harapan sekolah untuk SPM tahun itu. Sulaiman juga merupakan solo bagi kumpulan nasyid sekolahnya. Kelunakan suaranya memang sukar ditandingi, ditambah pula dengan rupa parasnya yang handsome membuatkan sesiapa sahaja yang mendengar dia nyanyi mampu luluh hati dan hanyut dalam alunan merdu suaranya.

     Begitulah Sulaiman. Permata kolej itu. Semua orang di sekililingnya menyayangi dia malah menggelarkannya sebagai "malaikat". Bukanlah untuk mengagung-agungkannya tetapi sebagai tanda keperibadiannya yang begitu suci dan tulus terhadap orang lain. Kenangan berputar kembali saat terjadinya masalah dalam kalangan pelajar itu sendiri. Satu pihak tidak puas hati dengan pihak yang satu lagi.Hang tuduh aku, aku tuduh hang. Tatkala itu, masih bergetar hati mengimbau kata-kata yang diucapkan oleh Sulaiman.

" Pergaduhan tidak membawa penyelesaian apa-apa, sahabatku. Apa yang antum rasa kalau Rasulullah berada bersama dengan kita sekarang ini? Pasti baginda menangis melihat antum bertelagah sedangkan antumlah yang sepatutnya menjadi contoh kepada orang Islam yang lain, yang mungkin tidak mendapat pendidikan agama seumpama antum. Rasulullah menggalakkan perdamaian dan menganjurkan supaya kita saling bermaafan dan saling menolong. "

" Antum mahu ke buat Rasulullah kita menangis sedangkan baginda yang tidak pernah kenal antum pun masih mengambil berat tentang antum, umatnya tatkala dia berada di hujung nyawanya? Saat baginda berkata ummati, ummati, ummati,..antum tidak berasa bersalahkah kerana melukakan hati baginda dengan perbuatan antum ini? Sedarlah sahabat-sahabatku, bermaaf-maaflah.Sekiranya masih lagi wujud kuman ketidakpuasan hati, kita selesaikan cara baik. Jangan kita pecah-belahkan jemaah hanya untuk kepentingan diri sendiri. Harap antum semua sedar dan lekas-lekas bertaubat. "

        Jeda. Semua yang ada ketika itu menitiskan air mata saat tegasnya suara Sulaiman mengingatkan mereka tentang kesalahan perbuatan mereka. Mereka terus meminta maaf antara satu sama lain dan mengakui kesalahan sendiri. Alhamdulillah, tegaknya sebuah persaudaraan itu berdasarkan paksi kepercayaan dan perkara ini tidak mungkin akan terjadi jika virus dengki meracuni dan meretakkan persahabatan yang terbina utuh selama ini.Dan Sulaiman berada di situ.Ya, seorang pemuda berjiwa waja dan kukuh jati dirinya itu telah memberi inspirasi kepada sahabat-sahabatnya untuk selalu mengamalkan akhlak mahmudah dan mendekatkan diri kepada Allah.

         Pemuda yang sama itu jugalah yang akan berhadapan dengan dugaan yang dahsyat sebagai ujian daripada Allah untuk menguji keimanannya. Allah itu Maha Bijaksana, siapa sangka dugaan yang hebat itu boleh datang tanpa diundang. Malah khabarnya hanya melalui sebuah panggilan telefon ketika Sulaiman sedang berbicara dengan ibunya. Seluruh alam menjadi saksi akan keindahan aturan Allah dan kebijaksanaan perancangan-Nya.

" Apa? Ibu nak jodohkan Sulaiman dengan anak kawan abah selepas SPM ni? " 

Ya Tawwab, teguhkanlah pendirianku, jadikanlah diriku pemberi petunjuk yang selalu mendapat petunjuk

2 comments:

apiez-kun said...

shemart lah amir..terbaik..teruskan!!

Suhaila Mohd Nazaruddin said...

interesting :)

Post a Comment